BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri galak pemaju sedia rumah mesra OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 2 MAC: Kerajaan Negeri menggalakkan pemaju hartanah untuk menyediakan unit rumah mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memberi kemudahan kepada golongan terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau tidak mewajibkan pemaju hartanah menyediakannya namun penyediaan beberapa unit khas kepada golongan itu adalah amat digalakkan.

Katanya, setakat ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberikan komitmen amat baik apabila menyediakan empat unit rumah mesra OKU di bawah projek Rumah Selangorku Idaman PKNS Selangor Cyber Valley.

“Kita bercadang untuk menambah bilangan unit mesra OKU di Selangor menerusi kerjasama dengan anak syarikat Kerajaan Negeri secara berperingkat pada masa akan datang.

“Namun, bagi projek pemaju swasta, ia belum boleh diletakkan sebagai syarat wajib untuk menyediakan unit mesra OKU tetapi kita menggalakkan sekiranya mereka mahu mengikut konsep seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pangsapuri SelangorKu Idaman Residensi, Seksyen 6, Selangor Cyber Valley, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek.

Pada masa sama, Amirudin yakin penyediaan rumah mesra OKU itu pasti mendapat permintaan sekali gus memberi imej baik kepada pemaju hartanah.

“Saya yakin kemudahan ini ada permintaan di pasaran dan memberikan imej baik kepada pemaju hartanah itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, PKNS menerusi projek Rumah Selangorku Idaman PKNS Selangor Cyber Valley menyediakan empat unit rumah mesra OKU dengan beberapa kemudahan antaranya pintu lebih besar, suis boleh dicapai, tandas mesra OKU dan dua parkir.

Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang www.pkns-property.com atau Facebook PKNS Property selain hubungi wakil jualan di talian 019-2139991, 019-6994004 atau 03-8926200.


Pengarang :