SELANGOR

Kerajaan Negeri garis dua fasa tangani peniaga warga asing

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 MAC: Dua fasa pelaksanaan ditetapkan Kerajaan Negeri sebagai perancangan jangka pendek bagi mengatasi isu penjaja kecil warga asing, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keputusan pelaksanaan itu dipersetujui hasil perbincangan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Katanya, fasa pertama akan digerakkan dengan memberi kesedaran kepada orang ramai untuk melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan sebarang pembabitan warganegara asing dalam perniagaan

“Ini termasuk perniagaan di tepi jalan, pasar pagi, pasar malam dan pasar tani.

“MMKN bersetuju mengarahkan semua 12 PBT di Selangor mengkaji dan membuat penambahbaikan kepada Undang-Undang Kecil (UUK) khususnya berkaitan dengan penjaja kecil bagi melarang penglibatan warga asing sama ada sebagai pekerja atau pemilik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di Bilik MTES, di bangunan SUK, semalam.

Bagi fasa kedua, beliau berkata, Kerajaan Negeri sedang merangka pelan tindakan dan pelaksanaan membabitkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Imigresen, Majlis Daerah dan PBT.

Katanya, pengumuman butiran dan pelaksanaan fasa terbabit juga bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri komited dalam usaha memastikan tiada lagi penjaja kecil dalam kalangan warganegara asing, di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menerima pelbagai aduan dan rungutan daripada pemimpin masyarakat berhubung lambakan penjaja dan peniaga warga asing sehingga menyukarkan peniaga serta penjaja tempatan.

Malah, sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai lesen sah untuk menjalankan operasi perniagaan masing-masing.


Pengarang :