SELANGOR

Kerajaan Negeri rancang bawa produk ‘Made in Selangor’ ke R&R

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

DENGKIL, 4 MAC: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi mewujudkan kiosk di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam memasarkan produk ‘Made in Selangor’.

EXCO Pembangunan Usahawan, Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, banyak produk yang dihasilkan ‘Made in Selangor’ berkualiti namun tiada tempat untuk dipasarkan.

“Saya akan berbincang bersama PLUS untuk mengadakan kiosk ‘Made in Selangor’ berkonsepkan ‘Homemade Market’ bagi memasarkan produk daripada Selangor.

“Dalam ‘Homemade Market’ ini kita boleh gabungkan pelbagai produk dalam satu kiosk. Jadi ramai usahawan boleh terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui di Majlis Perlancaran Program Pembangunan Keusahawanan Wanita (WEP) PLUS di R&R Dengkil arah selatan, di sini.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Terdahulu, produk ‘Made In Selangor’ juga dirancang diperluaskan di pasaraya dan pusat membeli belah dengan kerjasama AEON.

Sebelum itu, produk berkenaan dipamerkan di pasar raya dalam sesuatu tempoh.

‘Made In Selangor’ dilaksanakan sebagai medium pemasaran dan tapak permulaan bagi memperkenalkan produk tempatan ke pasaran lebih luas.

Ia turut membuka peluang kepada usahawan Hijrah dalam mengetengah perniagaan mereka.

Mengulas program inisiatif WEP itu, Rodziah berkata, pihaknya memuji usaha PLUS dalam memperkasakan usahawan wanita dan wajar dijadikan contoh kepada pihak swasta lain.


Pengarang :