SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia tutup sekolah tahfiz tidak berdaftar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan Negeri mengambil perhatian titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengarahkan semua sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam (JAIS) ditutup dan ditamatkan perkhidmatan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudn Shari berkata, Kerajaan Negeri sudah menjalankan operasi pendaftaran sekolah tahfiz swasta sejak dua tahun lalu ketika di bawah pentadbiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan kerjasama JAIS serta Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

“Kita belum mengambil tindakan menutup sebab dua tahun kebelakangan ini saya bersama Dato’ Seri Mohamd Azmin ketika menjadi Dato’ Menteri Besar mengarahkan semua sekolah tahfiz untuk mendaftar dan kita bekerjasama dengan PITAS serta JAIS untuk mendaftarkan operasi mereka.

“Kerajaan Negeri turut menjadi pemudahcara untuk pengusaha sekolah tahfiz mendaftarkan bangunan mereka supaya mempunyai aspek keselamatan terutama kecemasan ketika kebakaran supaya mereka memenuhi kemudahan ditetapkan. Sekarang, kita sudah daftarkan lebih 200 sekolah tahfiz dan bakinya tidak banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas selesai Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali ke-14 Tahun 2019.

Katanya, hanya sedikit sekolah tahfiz yang belum berdaftar kerana tidak mampu memenuhi kriteria ditetapkan, namun mereka masih mempunyai peluang terakhir untuk melengkapkannya.

“Kita akan ambil tindakan seperti titah tuanku serta memberikan peluang terakhir satu atau dua bulan kepada mereka untuk melengkapkan kriteria sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Isunya bukan kita nak halang (operasi). Kita nak pastikan mereka mempunyai ko-kurikulum sempurna selain kemudahan yang tidak membahayakan kerana sebelum ini berlakunya kejadian kebakaran dan tanah runtuh disebabkan ketiadaan kemudahan lengkap,” katanya.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya turut mengarahkan penutupan sekolah swasta tahfiz yang tidak mempunyai ko-kurikulum dan sistem pendidikan moden.

Secara keseluruhan terdapat 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan JAIS.


Pengarang :