BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri teliti cadangan KATS, pelarasan tarif air

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri akan meneliti semula cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) yang mencadangkan pelarasan tarif air hampir 50 peratus daripada tarif sedia ada.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menyifatkan pelarasan itu agak tinggi daripada tarif sedia ada yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri masih meneliti semua faktor terbabit bagi memastikan sebarang pelarasan tarif adalah pada kadar yang lebih munasabah supaya pengguna daripada golongan berpendapatan rendah tidak terjejas.

“Pemberian air percuma yang dilaksanakan kini diberikan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan jutawan selaras matlamat asal untuk membantu mengurangkan beban rakyat.

“Tujuan Kerajaan Negeri membuat penjajaran semula untuk memastikan penyaluran subsidi yang lebih fokus terhadap golongan sasar khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Selangor dalam usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dibangkitkan Ahli Dewan Negeri(ADN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail pada sesi penggulungan perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, penjajaran pemberian air percuma khusus kepada golongan sasar masih lagi di peringkat semakan dan penelitian Kerajaan Negeri dan pelaksanaannya harus dilihat bersama dengan program Inisiatif Peduli Rakyat lain yang disediakan Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, bilangan keluarga yang layak masih belum dapat diputuskan dan Kerajaan Negeri tidak akan meminggirkan mana-mana penerima yang layak,” katanya.


Pengarang :