SELANGOR

Kerajaan Negeri terjemah 29 karya agung antarabangsa ke Bahasa Melayu

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 30 MAC : Kerajaan Negeri melalui Projek Pencerahan Selangor berjaya menterjemah 29 karya agung dari pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Arab, Perancis dan juga Inggeris kepada Bahasa Melayu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antara karya yang diterjemahkan ialah karya pengarang agung dari Timur dan Barat, termasuk Imam al-Ghazali, Rene Descartes, Voltaire dan juga Plato.

Katanya, antara terjemahan lain ialah tiga buku yang ditulis oleh Al-Ghazali iaitu, Faysat Tafriqah Bainal Islam waz Zandaqah, Al-Iqtisad fil-Iqtiqad dan Al-Munqidz Minad-Dhalal.

“Pencapaian ini boleh dianggap memberansangkan, sebagai umat Islam sudah tentu menjadi tanggungjawab kita untuk mengkaji dan mengetengahkan banyak lagi karya besar di dalam khazanah ilmu Islam.

“Kita patut merasa malu jika bidang kajian ini mendapat perhatian yang tinggi dan dimajukan di dunia Barat sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019, di Putra World Trade Centre, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussin Qattan dan Pengarang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi 1 Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2019, Abd. Wahab Ibrahim.

Amirudin berkata, di samping itu, penerbitan buku audio juga adalah salah satu komponen Projek Pencerahan Selangor.

“Sehingga kini sebanyak 27 buah buku siap diaudiokan, dan Kerajaan Negeri berbangga kerana dapat menjadi pelopor dalam memajukan bidang ini.

“Diharapkan buku ini dapat memberikan pengalaman baharu di dalam menikmati karya klasik seperti Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk,” katanya.

Projek Pencerahan Selangor itu turut dijayakan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).


Pengarang :