BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri tubuh AnIS bantu anak OKU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri mewujudkan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) bagi membantu kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU), di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan terbabit bertujuan membantu meringankan tanggungan kos sara hidup, pemulihan dan pendidikan anak OKU yang ditanggung ibu bapa atau penjaga.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan dana bantuan khas (kecemasan) yang dimulakan dengan jumlah RM500,000 tahun ini bagi meringankan beban ibu bapa dan penjaga kepada anak OKU terutama menanggung saringan kesihatan.

“Bantuan berkenaan boleh digunakan mereka untuk membeli peralatan khas bagi tujuan pemulihan anak-anak OKU

“Had permohonan yang ditetapkan bagi setiap keluarga adalah RM5,000 setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di Bilik MTES, di bangunan SUK, semalam.

Beliau berkata, antara syarat ditetapkan bagi bantuan khas ialah anak itu mempunyai kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pemohon yang mempunyai atau menjaga anak OKU boleh mengisi lengkap borang permohonan AnIS di Pusat Khidmat Masyarakat di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor atau layari laman web www.selangor.gov.my,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, dana berkenaan juga akan disalurkan ke beberapa taska di setiap DUN supaya dapat melatih guru yang mengasuh kanak-kanak OKU terbabit.

Katanya, ia dapat meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak OKU yang terpaksa menghantar anak mereka ke tadika khas sehingga menelan kos tinggi.


Pengarang :