NASIONAL

Kerajaan PAKATAN fokus selesai masalah rakyat

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memfokuskan usaha pemulihan, merancakkan ekonomi dan menampilkan imej negara yang baik di persada antarabangsa.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Pusat Perdana Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) turut memberi tumpuan kepada pendidikan sebagai usaha yang tidak boleh dikompromi mana-mana pihak dalam membangunkan negara dan rakyat.

Selain itu, katanya, kos sara hidup generasi muda turut diutamakan kerajaan kerana golongan berkenaan perlu membina kehidupan selepas tamat belajar.

“Sudah pasti mereka memerlukan suatu keadaan ekonomi kondusif yang boleh membantu mereka menstabilkan kehidupan berbanding golongan lebih senior.

“Medan Parlimen yang sedang bersidang hari ini adalah satu forum yang sesuai. Kita tidak boleh memandang remeh tuntutan golongan muda kerana ia sesuatu yang perlu direalisasikan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel ketika mengupas tajuk ‘Dewan Rakyat: Kuasa Rakyat atau Kuasa Politik?’, di sini malam tadi.

Mengulas berkenaan kesan landskap baharu politik negara setelah dua hari Dewan Rakyat bersidang bagi penggal kedua, Mazlan berkata, daripada sudut demokrasi, semangat untuk bersuara di dewan adalah baik bagi negara.

“Satu pihak akan berusaha untuk memastikan perjalanan kerajaan itu berkesan. Pada masa sama, yang menyemak imbang itu adalah mereka seolah-olah satu kerajaan bayangan kepada kerajaan yang memerintah sekarang,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid pula berharap persidangan kali ini ditumpukan kepada usaha memulihkan ekonomi negara.

“Waktu untuk berpolitik sudah tamat dan kini masanya untuk rakyat melihat apakah rancangan kerajaan bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negara dikekalkan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), iaitu Tabung khusus untuk pelajar berkemahiran yang juga menjadi agenda perjuangan MBM.

Katanya, masalah kekurangan dana PTPK menyebabkan pelajar institusi kemahiran gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi saya, isu ekonomi dan pendidikan anak muda antara isu yang perlu diselesaikan segera. Ahli parlimen kita mesti terus suara dan bincangkan untuk kepentingan anak muda,” katanya.

PTPK yang ditubuhkan pada 1 Jun 2006 di bawah Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) bertujuan mengurus Tabung Pembangunan Kemahiran yang dahulunya dikendalikan oleh Bahagian Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. -BERNAMA


Pengarang :