JOHOR BAHRU, 13 Mac — Orang ramai berkumpul di luar sementara menunggu anak-anak mereka mendapatkan rawatan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang hari ini.?Sekurang-kurangnya 20 pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Pasir Gudang dibawa ke dewan itu untuk rawatan kerana mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai susulan pencemaran sisa kimia.?–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan pandang serius isu pencemaran alam sekitar

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan memandang serius terhadap isu pencemaran alam sekitar yang menggugat ekosistem dan keselamatan masyarakat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kesalahan.

“Saya ambil maklum situsi kini di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Kerajaan pandang serius isu pencemaran alam.

“Kerajaan perlu siasat dan ambil tindakan segera untuk menjamin keselamatan lingkungan,” tulisnya di Twitter, petang tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, orang ramai diminta mengikuti maklumat terkini kejadian melalui sumber yang sahih serta mematuhi arahan agensi berkuasa.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kertas siasatan bagi mendakwa suspek utama sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Kertas siasatan berhubung perkara itu sudah disiapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian serta pertimbangan dan mendapatkan izin mendakwa.

“Kertas pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak lebih RM500,000,” katanya.


Pengarang :