BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan salur bantuan awal kepada mangsa ribut

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 29 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menghulurkan bantuan segera kepada 47 mangsa daripada 13 keluarga yang terjejas ekoran ribut di Batu 11, di sini.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, bantuan diberikan dalam bentuk keperluan asas seperti khemah, perkakas mandian, selimut dan makanan kepada mangsa yang kini berada di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Kampung Gombak Utara, Batu 11.

Selain bantuan segera, pihaknya juga akan menilai kerosakan dialami mangsa sebelum menyalurkan bantuan membaiki rumah mereka.

“Saya akan minta Jabatan Kebajikan Masyarakat menghantar pegawai psikologi pagi esok (hari ini) untuk memberikan bantuan kaunseling terutama kepada mangsa yang trauma.

“Setakat malam ini (tadi), saya dimaklumkan seramai 13 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Asli ini,” katanya kepada media ketika melawat pusat pemindahan itu, malam tadi.

Sebelum itu, Hannah bersama Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham sempat meluangkan masa lebih satu jam melawat mangsa di pusat pemindahan terbabit.

Terdahulu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, lima daripada lapan rumah terletak di Pondok Penyayang Raudah Batu 11 Jalan Lama Gombak itu terjejas dihempap pokok kerana hujan lebat dan angin kencang.

“Setakat 6 petang (semalam), mangsa yang cedera terdiri daripada tiga dewasa dan lima kanak-kanak. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

“Kawasan itu ditutup sementara waktu bagi kerja pembersihan dan mangsa terbabit ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Batu 12 Gombak,” katanya.


Pengarang :