NASIONAL

Kerajaan sasar penggunaan domestik produk sawit naik 10 peratus

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kementerian Industri Utama mensasarkan penggunaan domestik bagi produk sawit serta produk hiliran berasaskan komoditi itu meningkat sebanyak 10 peratus melalui kempen Sayangi Sawitku.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, pada masa ini penggunaan produk sawit di dalam negara hanya mencatatkan 20 peratus manakala baki 80 peratus lagi adalah untuk dieksport.

“Jadi, kita menyeru semua pengeluar produk hiliran sawit supaya meletakkan logo kempen Sayangi Sawitku pada label produk mereka sebagai langkah mendidik pengguna mengenai produk bahawa yang diambil mereka itu adalah diperbuat daripada sawit,” katanya dalam sesi soal jawab semasa perjumpaan bersama syarikat di bawah skim penstabilan minyak masak (COSS) di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Kok berkata, sejak melancarkan kempen awal Sayangi Sawitku di peringkat nasional, pelbagai aktiviti serta program dilaksanakan bersama rakyat termasuk golongan pelajar sekolah, kolej dan universiti.

“Kempen ini bertujuan memupuk semangat kecintaan dan kebanggan terhadap minyak sawit Malaysia serta penghargaan atas sumbangannya kepada ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, Kok berkata pelaksanaan mandatori Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan (SCCS) bagi kilang pemprosesan sawit yang terbabit dengan COSS adalah pada 30 Jun ini.

“Bagi kemudahan pemprosesan sawit yang tidak terbabit dengan COSS, mereka perlu mendapatkan pensijilan SCCS sebelum 31 Disember depan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang turut hadir pada perjumpaan itu berkata, kerajaan memperuntukkan RM600 juta bagi subsidi minyak masak pada tahun ini.

“Peruntukan ini membabitkan 60,000 tan atau 3.69 peratus minyak masak yang disubsidikan selain membabitkan 280 pembungkus di bawah skim COSS di seluruh negara.

“Kerajaan akan memberi subsidi kepada mereka sebanyak 60 sen bagi setiap paket minyak masak satu kilogram berharga RM2.50,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :