EKONOMI

Kerajaan tetap sasaran baharu cukai langsung RM150 bilion

CYBERJAYA,1 MAC: Kerajaan menetapkan sasaran baharu kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun ini sebanyak RM150 bilion berbanding sasaran awal sebanyak RM147 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini pada kadar 4.9 peratus yang perlu disusuli dengan pertambahan kutipan cukai sewajarnya.

“Dengan kemampuan LHDN mendapatkan kutipan lebih tinggi dan rakyat lebih sudi membayar cukai kerana yakin kerajaan yang bersih tidak akan merompak duit mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Hasil 2019, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, sebelum ini kerajaan meletakkan sasaran kutipan cukai langsung sebanyak RM147 bilion bagi tahun ini, peningkatan sebanyak 7.27 peratus berbanding 2018.

Katanya, LHDN mencipta sejarah pada tahun lepas apabila mencatatkan kutipan cukai langsung berjumlah RM137.035 bilion iaitu meningkat RM13.723 bilion atau 11.13 peratus lebih tinggi berbanding 2017.

“Pencapaian kutipan ini mencerminkan ekonomi negara berada di landasan kukuh seiring dengan pengenalan tadbir urus Kerajaan Persekutuan memperkasakan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT),” katanya.

Mengenai bayaran balik cukai pendapatan, Guan Eng berkata setakat Januari lepas, RM1.64 bilion telah dibayar melmbabitkan lebih 32,000 kes merangkumi kes syarikat (18,215), bukan syarikat (14,082 ) dan duti setem (162).

Katanya pembayaran balik tunggakan cukai RM37 bilion merangkumi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan pada tahun ini dijangka selesai dalam tempoh 10 bulan atau dalam tempoh lebih singkat.

“RM19.4 bilion (GST) dan kira-kira RM18 bilion bagi cukai pendapatan. Perbezaan pada tahun ini ialah anda akan mendapat bayaran balik awal,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, lebih 203,000 pengakuan sukarela direkodkan LHDN daripada pemilik akaun bank di dalam dan luar negara di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), membabitkan cukai tambahan dan penalti ditaksir sekitar RM1.306 bilion.

“Ini merupakan petunjuk positif ke arah mencapai sasaran kutipan keseluruhan hasil bagi tahun 2019,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :