–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerja pembersihan Sungai Kim Kim diteruskan hari ini

JOHOR BAHARU, 14 MAC: Kerja pembersihan sisa kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang diteruskan hari ini dengan kesemua pihak dan agensi terbabit memulakan kerja seawal 10.30 pagi.

Tinjauan di lokasi kejadian menyaksikan anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tiga kontraktor yang dilantik kerajaan negeri untuk kerja-kerja pembersihan sungai sibuk menjalankan operasi dengan sebuah jentolak turut digunakan untuk mengorek tanah di tebing sungai.

Sebelum ini, pasukan pembersihan melakukan kerja-kerja menanda dan mengenal pasti kawasan tercemar sepanjang 1.5 kilometer ke hulu Sungai Kim Kim.

Pasukan Hazmat JBPM dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) membuat pembersihan awal sisa tumpahan kimia di darat dan yang timbul di permukaan sungai dengan 2.43 tan bahan kimia bercampur tanah dibersihkan pada 7 Mac.

Insiden pencemaran sisa kimia yang dilaporkan berlaku sejak 7 Mac telah menyebabkan seramai 947 orang awam dirawat di hospital sementara 111 buah sekolah dalam kawasan Pasir Gudang ditutup sehingga kini.

Sementara itu, kenyataan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyatakan kerajaan pusat akan menanggung kos operasi pembersihan bahan kimia tersebut bersama-sama kerajaan negeri berdasarkan tuntutan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri.

“Bantuan wang ihsan juga akan diberi kepada setiap keluarga mangsa yang terkesan berdasarkan senarai yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah atau pegawai daerah,” kata agensi itu.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian mengumumkan kelulusan peruntukan kecemasan RM6.4 juta bagi menjalankan operasi pembersihan serta bantuan kepada mangsa dan keluarga yag terlibat selain melancarkan operasi agensi-agensi yang terlibat.

Selain itu, Sultan Johor juga berkenan mengurniakan RM1 juta bagi memperhebat operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang. -BERNAMA

 


Pengarang :