SELANGOR

Kerjasama Selangor-ESMT beri tambah nilai pendidikan negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 MAC: Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan European School of Management and Technical (ESMT), di Berlin akan dirangka bagi memberi nilai tambah kepada perkembangan Selangor Business School (SBS).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, langkah itu akan membantu Selangor meningkatkan lagi sektor perkhidmatan, khususnya dalam bidang pendidikan.

“Ketika di Berlin, saya sempat melawat ESMT dan mungkin akan ada kerjasama yang akan dirangka. Tidak ketinggalan, saya juga melawat beberapa tempat lain dengan perancangan menjurus kepada teknikal dan vokasional secara keseluruhan di Jerman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Meraikan Pesara 2019 Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Dewan Sivik MBPJ di sini, malam tadi.

Tidak ketinggalan, Amirudin bersama EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Rashid Asari turut menghadiri Berlin Internationale Tourism Borse.

Katanya, pada program tahun ini, Malaysia adalah rakan kongsi penganjuran ekspo pelancongan terbesar itu.

“Selangor juga menghantar delegasi yang agak besar diketuai saya sendiri dan kita hadiri beberapa program yang fokus kepada Datuk Rashid selaku EXCO untuk mempromosi negeri sebagai destinasi pelancongan terbaik,” katanya.


Pengarang :