Kes Adib: Guna platform betul salur maklumat | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Kes Adib: Guna platform betul salur maklumat

IPOH, 24 MAC: Mana-mana petugas perubatan perlu menggunakan saluran yang betul dan tidak menyebarkan sebarang maklumat menerusi media sosial berkaitan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana sebarang maklumat berkaitan kes Muhammad Adib akan digunakan sebagai bahan bukti dalam prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

“Apabila mereka (petugas perubatan) menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan maklumat, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak benar seterusnya akan menganggu siasatan kes tersebut.


“Gunakan platform yang betul dengan tampil sebagai saksi pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib supaya maklumat yang diperolehi itu boleh dikenal pasti sama ada mempunyai kesahihan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-Royong Mega Hapuskan Denggi Di Taman Rapat Setia Baru di sini, hari ini.

Lee berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan seorang jururawat yang tular di media sosial kononnya pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi membuat kenyataan tidak tepat pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib yang dijalankan di Mahkamah Koroner.

Jumaat lepas, Dr Ahmad Hafizam yang merupakan saksi ke-24 berpandangan corak kecederaan dialami Muhammad Adib tidak padan dengan akibat dipukul berikutan kecederaan pada rongga dada (toraks) bukan seperti biasa dialami seseorang dipukul dengan objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.

Susulan itu, seorang jururawat yang mendakwa merawat Muhammad Adib menulis beberapa komen balas di laman sosial media Facebook menyatakan bahawa kecederaan dialami anggota bomba itu adalah disebabkan oleh ‘violence’ (keganasan).

Bagaimanapun, jururawat terbabit membuat permohonan maaf semalam dan membetulkan kenyataannya serta berharap pihak yang menularkan dakwaannya agar memadamkan kenyataan tersebut.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas dan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next