SELANGOR

Kes buang sisa industri: Pemandu lori direman esok

KLANG, 19 MAC: Seorang pemandu lori tangki direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan sisa industri di kolam takungan di Taman Eng Ann di sini, pada 14 Mac lalu.

Perintah berkenaan dikeluarkan Majistret Roslizi Sulaiman bermula hari ini selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh polis yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 277 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh dalam kenyataannya berkata, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di sebuah rumah di Jeram, Kuala Selangor pada pukul 4.30 petang.

Polis turut merampas sebuah lori tangki yang dipercayai digunakan untuk membawa sisa industri berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima tempahan daripada sebuah syarikat bagi melakukan kerja pembuangan sisa berkenaan.

Terdahulu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata sebanyak 28,000 liter sisa industri berkenaan telah dikumpul dan disimpan di dalam tangki simpanan sementara sebelum dilupuskan mengikut kaedah yang sesuai.

Pada 14 Mac lalu, sebanyak 21 bahan dari sisa industri dikesan dibuang ke dalam kolam itu sehingga membawa kepada pencemaran kolam takungan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :