NASIONAL

Kes bunuh CEO Cradle Fund: Balu, dua anak tiri didakwa

PETALING JAYA, 4 MAC: Balu serta dua anak tiri Nazrin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki itu Jun tahun lalu.

Bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Samirah Muzaffar, 44, dan dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 16 dan 13 tahun hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Kedua-dua tertuduh yang masih di bawah umur hadir ke mahkamah sekitar jam 12.45 tengah hari dengan berpakaian seragam sekolah manakala Samirah tiba dalam persalinan baju kurung hitam.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes terbabit di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Turut kelihatan di galeri awam, puluhan anggota keluarga tiga beranak terbabit, termasuk penganalisis politik dan aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang hadir dengan berkerusi roda.

Mengikut pertuduhan, wanita itu bersama dua anaknya serta seorang lagi yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama telah membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, di sini, antara jam 11.30 malam, 13 Jun hingga 4 pagi, 14 Jun tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh di bawah usia 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin dan Mohd Zain Ibrahim manakala semua tertuduh diwakili peguam LS Leonard.

Mahkamah membenarkan permohonan Jamil supaya kes terbabit dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mohamad Ikhwan juga membenarkan permohonan Jamil supaya perintah larangan dikeluarkan terhadap media daripada mendedahkan nama, alamat, tempat tinggal selain dilarang mengambil gambar atau menyiarkan gambar tertuduh yang masih di bawah umur di platform media dan cetak dan elektornik.

Memandangkan kes bunuh tidak dibenarkan diikat jamin, Samihah dihantar ke Penjara Kajang manakala dua anaknya masing-masing dihantar ke Asrama Sentosa, Sentul, Kuala Lumpur dan Sekolah Koreksional Puncak Alam, Selangor.

Dalam satu kenyataan pagi ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata, semua tertuduh ditahan di kediaman mereka pada jam 6.45 pagi tadi.

Pada 4 September tahun lalu, Samirah ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu dan pada 9 September tahun lalu, turut ditahan reman dua anak tiri Nazrin yang berusia 13 dan 16 tahun. Bagaimanapun, semua mereka dibebaskan selepas tamat reman.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret di sini pada 1 Okt tahun lalu membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kematiannya itu.

Pada 3 Ogos tahun lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun tahun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.

Laporan bedah siasat kedua mendapati Nazrin mati akibat kecederaan di kepala dan bukannya berpunca daripada letupan telefon bimbit.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :