Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad
NASIONAL

Khalid: Gabungan Pas-Umno beri ancaman golongan bukan Islam

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Ungkapan ditimbulkan daripada Pas dan Umno seperti memberi ancaman terhadap golongan bukan Islam.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad berkata, orang bukan Islam akan berasa terancam dengan ungkapan berbaur perkauman sedemikian.

Katanya, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming turut berpandangan pemerintahan Pas dan Umno bakal menjadikan Malaysia negara Taliban dan ia adalah hasil daripada tindakan dan ucapan pemimpin kedua-dua parti terbabit.

“Kerjasama Pas-Umno bakal membentuk negara Taliban adalah hasil daripada suasana yang parti itu sendiri hasilkan.

“Pas dan Umno menggunakan ungkapan yang bahaya dan mengatakan orang Melayu terancam. Maka, seruan itu seolah-olah memggambarkan untuk menyatukan orang Melayu dan Islam bagi menghadapi ancaman bukan Islam,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, ungkapan itu akan membuatkan orang bukan Islam berpandangan bahawa ia seolah-olah menyeru kepada Islam membencikan mereka.

“Sekiranya mereka terus menggunakan seruan itu, saya rasa tidak salah bagi orang bukan Islam menganggap ia adalah satu kesatuan yang berasaskan kebencian terhadap bukan Islam,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Shah Alam itu diminta mengulas kenyataan Kor Ming yang menyifatkan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban, sekiranya kerjasama Pas dan Umno berjaya membentuk kerajaan.


Pengarang :