Khazanah mampu bangkit semula | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Khazanah mampu bangkit semula

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) memiliki pelan perniagaan semasa yang kukuh dan mantap di bawah kerajaan baharu bagi prestasinya untuk jangka panjang.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata, walaupun mencatat kerugian tahun lalu, perancangan masa depan Khazanah berteraskan hala tuju tepat, meyakinkan serta kukuh untuk membolehkannya kembali meraih keuntungan.

Namun, katanya, usaha itu perlu membabitkan langkah pengasingan aset Khazanah kepada aset komersial dan strategik selain menjual aset bukan strategik.


“Khazanah bukanlah satu-satunya dana kerajaan yang mengalami kerugian (pada 2018), malah pihak dana pencen kerajaan Norway yang besar turut mengalami nasib sama apabila kerugian kira-kira US$57 bilion.

“Bagi saya, punca utama kerugian Khazanah itu adalah turun naik pasaran ekuiti yang ketara di semua papan dagangan, khususnya akibat pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berlanjutan.

“Malah, Bursa Malaysia juga terus diniagakan dalam prestasi mendatar pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Khazanah mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.271 bilion, pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.90 bilion setahun sebelumnya, iaitu kerugian pertamanya dalam tempoh sedekad.

Keuntungannya turut dijejaskan oleh pengurangan penjualan, pendapatan dividen lebih rendah serta peningkatan susut nilai ketika tempoh transisi atau peralihan Khazanah dalam keadaan pasaran yang suram.

Nazri berkata, keutamaan Khazanah pada masa ini adalah menyokong inisiatif ekonomi kerajaan, termasuk berupaya memberi lebih banyak tunai kepada kerajaan melalui langkah penjualan atau mengurangkan lebihan ekuiti dalam syarikat berkaitan kerajaan.

“Apa yang penting adalah tadbir urus positif, ketelusan dan amalan pelaburan berhemat selain memastikan bahawa Khazanah bebas daripada campur tangan politik. Ia (pengurusan) harus dikendalikan mereka yang profesional.

“Saya rasa Datuk Sharil Ridza Ridzuan (Pengarah Urusan Khazanah) yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, mahir untuk menguruskan Khazanah sebagai pelabur institusi yang aktif,” katanya.

Pada tahun lalu, kerajaan melakukan penyusunan semula Khazanah yang turut menyaksikan perubahan kepimpinan Lembaga Pengarah dan pengurusan selain mandat serta objektif yang diberi nafas baharu.

Khazanah turut melakukan semakan dan penilaian semula pelaburannya yang jelas dipaparkan menerusi prestasi kewangan 2018 berkenaan.

Selain itu, Nazri juga berpendapat Khazanah perlu mengelak kelas aset yang ‘asing’ atau bukan bidang yang seiring dengan kepakaran dana itu.

Malah, Khazanah perlu mengelak daripada mengulangi kesilapan dana minyak negara di Qatar dan China yang terlalu bergantung kepada satu-satu aset, melakukan terlalu banyak usaha pempelbagaian selain membeli ekuiti dan hartanah swasta yang besar dan berada di luar wilayah masing-masing.

“Kerajaan perlu memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada Khazanah selain membolehkannya menimba amalan terbaik dana kerajaan di China dan Rusia,” katanya. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next