NASIONAL

KKM sedia timbang cadangan wajibkan dua daripada 12 vaksin

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menimbang cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) untuk mewajibkan sekurang-kurangnya dua daripada 12 vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan mewajibkan suntikan berkaitan membabitkan vaksin MMR iaitu bagi campak, beguk dan rubella serta vaksin difteria yang akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

“Cadangan yang kami peroleh ini saya ambil kira secara mendalam kerana dengan mewajibkan satu hingga dua vaksin ini sebenarnya kita akan dapat mencegah enam hingga tujuh jenis penyakit,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Malaysia 2019 di Hotel Istana, hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, ketika ini KKM telah menggerakkan pasukan petugas khas untuk mengkaji semua cadangan dalam usaha mewajibkan vaksin imunisasi kepada kanak-kanak di negara ini.

Dzulkefly berkata, penubuhan pasukan khas terbabit menunjukkan komitmen tinggi kementerian dalam memastikan kepentingan kesihatan anak-anak terjamin dan kes kematian membabitkan kanak-kanak yang tidak diberikan vaksin tidak berulang.

Ditanya berhubung kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai kepentingan imunisasi dan pendidikan kepada kanak-kanak adalah dua perkara berbeza, Dzulkefly berkata, Maszlee telah menjelaskan kepada beliau bahawa kenyataan itu telah disalah lapor.

Dalam pada itu, Dzulkefly menolak dakwaan sesetengah pengamal perubatan swasta tidak berpuas hati dengan kadar bayaran yang dikenakan membabitkan Skim Peduli Sihat (PeKa B40) yang dianggap terlalu rendah.

Beliau berkata, melalui jerayawara dan sesi dialog yang dijalankan kementerian, 95 peratus pengamal perubatan menyatakan mereka tidak mempunyai masalah dengan kadar bayaran terbabit.

“Kami tidak nampak ada masalah kerana komitmen pengamal perubatan sangat baik dan mereka sedar kami terpaksa meletakkan sedikit harapan kepada mereka memandangkan fasiliti dan kapasiti kami terlalu sesak,” katanya.

KKM sebelum ini melancarkan PeKa B40 dalam usaha mengurangkan penyakit tidak berjangkit membabitkan 800,000 orang daripada golongan B40 berusia lebih 50 tahun.

Menerusi skim itu, pesakit hanya perlu membayar RM40 untuk lawatan pertama ke klinik dan makmal swasta serta RM20 untuk lawatan susulan.


Pengarang :