SELANGOR

Klang diperkasa, rancak pembangunan negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 19 MAC: Pemerkasaan Klang menjadi Bandaraya Warisan Diraja dan pelabuhan yang berdaya saing di peringkat global jelas membuktikan komitmen Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam merancang pembangunan daerah terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, MPK turut memberi penekanan pembangunan dan mampan secara holistik dan berimej bandar warisan serta digital menjelang 2035 menerusi Rancangan Tempatan (RT) MPK (Penggantian) 2035.

Katanya, RT berkenaan akan memberi impak pembangunan yang besar bagi merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri.

“Kerajaan Negeri komited melonjakkan ekonomi negeri dan bandar utama di sepanjang sungai, antaranya memperkenalkan projek pembangunan ‘Selangor Maritime Gateway’.

“Selain itu, penyediaan tapak ‘Selangor Bio Bay’ di Pulau Indah sebagai tarikan dan destinasi pelaburan berterusan pelabur dalam dan luar negara,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Amirudin berkata, antara justifikasi pemilihan RT berkenaan kerana melihat potensi daerah itu sebagai penyumbang kepada ekonomi negeri dan tekanan pembangunan tinggi juga kemasukan projek prasarana serta pelaburan.

Sehubungan itu, beliau berharap, supaya perancangan dan cadangan RT itu disediakan berdasarkan pelan perancangan yang disediakan secara bijak dengan mengambil kira pengurusan sumber jaya, ekonomi dan spatial terancang.

“Menjadi tanggungjawab kita bersama memberikan pandangan dan idea bernas supaya pelan pembangunan ini lebih komprehensif serta mencapai matlamatnya.

“Diharapkan pengurusan MPK dapat mengambil inisiatif dan pendekatan yang lebih kreatif supaya program publisiti ini dapat dilaksanakan dengan lebih meluas,” katanya.


Pengarang :