SELANGOR

Komited bantu asnaf sertai bidang kemahiran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 15 MAC: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan usaha untuk bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi melihat pembangunan terhadap anak asnaf, seterusnya memberi peluang kepada golongan terbabit menyertai kursus dalam bidang kemahiran.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, meskipun LZS menyediakan bantuan kewangan kepada golongan itu, namun mereka menghadapi kesukaran untuk menghadiri kursus bidang berkenaan.

“Giat Mara boleh menyediakan latihan dalam bidang kemahiran, malahan institusi ini juga memberi elaun kepada pelajar. Cuma, mereka mungkin menghadapi kekangan pengangkutan untuk berulang alik.

“Saya harap pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat meneruskan perbincangan dengan mengadakan perjumpaan bersama LZS supaya tidak ada yang keciciran.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan golongan B40 kepada M40 yang boleh berpendapatan sejahtera,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan taklimat bersama beberapa pengurusan tertinggi Giat Mara cawangan Kelana Jaya, di sini, hari ini.


Pengarang :