BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Konsisten pastikan prestasi akademik dan sukan atlet seimbang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MAC: Universiti Teknologi Mara (UiTM) sentiasa konsisten dalam memastikan prestasi dan pencapaian atletnya melalui akademik serta pembangunan sukan tercapai.

Naib Canselornya, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, program pembangunan disediakan bukan sekadar fizikal semata-mata, namun ia turut membentuk ‘Thinking Athlete’ supaya mereka bijak mengurus diri.

Katanya, atlet universiti kebiasaannya bijak mengurus diri secara profesional, pada sebelum, semasa dan selepas pertandingan.

“Atlet yang bijak biasanya lebih tenang mengawal emosi dan cekap merancang strategi ketika menghadapi lawan dalam pertandingan.

“Selain itu, mereka juga tahu merancang gaya hidup bersesuaian dengan peranan sebagai pelajar dan atlet terutama apabila perlu menghadiri ke kelas, latihan sukan dan pertandingan.

“Pembahagian masa perlu dibuat dengan penuh disiplin supaya atlet pelajar ini boleh berjaya dalam kedua-dua lapangan akademik dan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Sukan UiTM 2018, di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, beliau percaya keupayaan pensyarah UiTM yang dilihat lebih fleksibel menangani situasi pelajar, sekali gus mendorong kepada kejayaan atlet universiti terbabit dalam persada sukan negara.

Beliau juga optimis UiTM akan sentiasa meneruskan momentum pencapaian cemerlang dalam persada sukan negara.

“Melalui jadual latihan dan pertandingan ketat, mustahil untuk seseorang atlet memberikan komitmen sepenuhnya dalam bidang akademik seperti pelajar sepenuh masa lain.

“Namun, dengan sistem pembelajaran fleksibel, sudah pasti ia mampu memberikan ruang kepada atlet untuk membahagikan masa sebaiknya,” katanya.


Pengarang :