SELANGOR

Konvensyen mahasiswa Selangor di Timur Tengah bakal dilaksana

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Konvensyen mahasiswa Selangor di Timur Tengah bakal dilaksanakan pada tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, konvensyen itu dilaksanakan bertujuan memanfaatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan mahasiswa Selangor yang berada di Timur Tengah.

Katanya, konvensyen itu juga antara lain bertujuan menggarap pemikiran positif mahasiswa untuk diterapkan dan dijadikan asas pembangunan jati diri yang kukuh dan mampan.

“Manfaat yang bakal diperoleh adalah dapat menyediakan sumber manusia dalam bidang Pendidikan Islam dan Sains Kesihatan kepada Kerajaan Negeri secara khususnya dan negara secara amnya.

“Menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap aspek kebajikan kepada mahasiswa Selangor di Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berhubung manfaat hubungan dengan mahasiswa Selangor Timur Tengah, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, konvensyen itu juga memberi impak positif kepada Kerajaan Negeri atas usaha kepedulian berkenaan hal ehwal semasa mahasiswa di Timur Tengah.

Terdahulu, hubungan bersama mahasiswa di Timur Tengah sudah terjalin dengan baik menerusi lawatan kerja rasmi Dato’ Menteri Besar ke Timur Tengah selama enam hari sejak 9 Oktober, tahun lalu.


Pengarang :