NASIONAL

KPKT arah PBT cari kilang kitar plastik haram

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di seluruh negara mencari kilang yang dipercayai memproses plastik secara haram.

Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia bagi memastikan kilang haram yang ditutup sebelum ini, tidak beroperasi semula.

“Kita sudah memberi taklimat berkenaan perkara ini dalam bengkel bulan lalu supaya mereka peka dengan masalah terbabit.

“Seperti kita sedia maklum, ia adalah perniagaan yang lumayan dan pengendali akan mencari cara serta melakukan apa sahaja untuk broperasi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Pameran RONAisme (Gaya Naif Malaysia) di Galeri Shah Alam, Seksyen 14, di sini, semalam.

Beliau komited PBT akan mengikut arahan terbabit, sekali gus bagi memastikan kilang haram, di Malaysia dapat dihapuskan sepenuhnya.

Pada masa sama, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kilang plastik haram supaya laporkan kepada pihak berkaitan.

“Kita mengalukan-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kilang plastik haram untuk salurkan kepada pihak berkaitan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini berkerja rapat dan saling bertukar informasi bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi mengatasi masalah berkenaan.


Pengarang :