KPKT, keluarga Adib fail afidavit bantah permohonan jawatankuasa bertindak kuil gantung sementara inkues | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

KPKT, keluarga Adib fail afidavit bantah permohonan jawatankuasa bertindak kuil gantung sementara inkues

PUTRAJAYA, 4 MAC: Kemterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta keluarga anggota bomba yang meninggal dunia, Muhammad Adib Mohd Kassim, telah menfail afidavit bagi membantah permohonan jawatankuasa bertindak bagi menyelamatkan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield untuk menggantung inkues kematian anggota bomba itu sementara menunggu pendengaran rayuan.

Afidavit itu difailkan secara berasingan minggu lalu sebagai menyokong permohonan Jabatan Peguam Negara bagi membantah permohonan jawatankuasa itu untuk menggantung sementara inkues.

Peguam jawatankuasa itu, M Visvanathan memberitahu panel tiga anggota bahawa beliau menerima afidavit berkenaan pagi ini yang difailkan secara berasingan oleh peguam kementerian, Syazlin Mansor dan peguam, Kamaruzaman A Wahab.


Beliau memohon mahkamah memberikan masa kepada mereka untuk menfail afidavit balas kerana menurutnya afidavit itu belum pernah berlaku sebelum ini di mana ia difail oleh mereka yang berkepentingan bagi membantah kehadiran pihak yang juga berkepentingan dalam inkues.

Visvanathan berkata, afidavit itu mempersoalkan kedudukan jawatankuasa berkenaan dari segi undang-undang, untuk mengambil bahagian dalam inkues.

Panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan menangguhkan pendengaran dua permohonan yang dijadualkan hari ini.

“Kami menangguhkan kedua-dua usul itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan untuk didengar bersama dengan rayuan. Pihak yang berkenaan sementara itu dibenarkan menfail sebarang afidavit seterusnya jika perlu,” kata Hakim Umi Kalthum yang mempengerusikan panel.

Ia adalah permohonan oleh jawatankuasa berkenaan untuk menggantung sementara inkues kematian Muhammad Adib sementara menunggu rayuan (jawatankuasa berkenaan) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Februari lalu yang membenarkan keputusan Mahkamah Koroner mengenepikan permohonan jawatankuasa bertindak itu untuk menjadi pemerhati semasa inkues.

Satu lagi permohonan dibuat oleh Pejabat Peguam Negara yang memohon untuk mengenepikan rayuan jawatankuasa itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar membantah permohonan Visvanathan untuk menfail afidavit balas kerana afidavit itu tidak menyebut pembabitan penganut agama Hindu.

Pada 8 Februari, Mahkamah Shah Alam menolak rayuan jawatankuasa bertindak kuil itu bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner yang menetapkan mereka tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam inkues yang sedang berlangsung.

Pada 31 Januari, Koroner Rofiah Mohamad menolak permohonan oleh jawatankuasa bertindak itu sebagai pihak yang berkepentingan dalam inkues berkenaan, dengan alasan ia tidak mempunyai kepentingan yang jelas, substantif dan munasabah.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember tahun lalu.

Pendengaran inkues akan bersambung pada 19 Mac.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next