Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. Foto SELANGORKINI
NASIONAL

KPKT komited kuat kuasa haram sisa plastik

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited meneruskan penguatkuasaan pengharaman sisa plastik dan tidak bercadang untuk menamatkannya, sejak ia berkuat kuasa, pada Julai tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia bertujuan memastikan sisa plastik yang diterima di Malaysia berada dalam spesifikasi dan piawaian ditetapkan.

“Melalui penguatkuasaan ini, kita mungkin akan menghapuskan keseluruhan sisa plastik berkualiti rendah yang diimport di negara ini, pada masa hadapan.

“Malah, kita hanya akan terima plastik berkualiti tinggi sahaja dan akan dikawal serta pihak kami akan memastikan industri sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan sisa import plastik dari negara maju seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom ke China sebelum diharamkan dan kemudiannya dihantar ke Malaysia, tahun lalu.

Pada masa sama, katanya, Malaysia terlalu kecil untuk menerima sisa plastik import itu.

“Bayangkan, China pun tidak mampu menangani sisa ini, apatah lagi Malaysia. Jadi, kita kena tutup pintu supaya supaya sisa plastik haram ini tidak diterima lagi di negara ini,” katanya.

 


Pengarang :