NASIONAL

KPKT optimis laksana konsep ‘sisa kepada tenaga’ dua tahun lagi

JITRA, 23 MAC: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) optimis mampu melaksanakan konsep ‘waste to energy’ (WTE) atau sisa kepada tenaga dalam tempoh dua tahun lagi ke arah menghapuskan tapak pelupusan sampah, sekaligus membentuk komuniti lestari di negara ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, konsep itu juga selari dengan Dasar Komuniti Negara (DKN), dalam usaha menerapkan nilai-nilai baik agar masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap komuniti masing-masing.

Beliau berkata, untuk merealisasikan konsep itu, semua pihak terutama di peringkat anggota masyarakat perlu bekerjasama antaranya dengan mengasingkan sisa makanan dan botani di peringkat komuniti, sebelum lebihan sampah yang lain dihantar ke tapak pelupusan.

“Masyarakat harus sedar tentang kepentingan menguruskan sampah khususnya sisa makanan dan botani… sisa makanan dan botani ini boleh jadikan pendapatan kerana ia boleh hasilkan gas dan baja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti Lestari Taman Tunku Sarina di sini, hari ini.

Beliau berkata, konsep berkenaan jika dilaksanakan dalam skala yang besar, ia juga mampu menghasilkan tenaga elektrik.

“Oleh itu, kita nak meningkatkan usaha untuk program kitar semula (sisa buangan) dan jana ekonomi, yang mana kita nak tukar sampah menjadi duit,” katanya.

Mengenai pusat komuniti lestari, Zuraida berkata, inisiatif diperkenalkan syarikat pengendali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam E-Idaman Sdn Bhd itu merupakan langkah terbaik dalam usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan menguruskan sampah masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, KPKT berharap setiap taman perumahan mempunyai sebuah pusat seumpamanya bagi mengasing dan memproses sisa buangan daripada setiap isi rumah untuk dijadikan bahan lain yang boleh dimanfaatkan masyarakat.

“Selepas sampah diasing dan diproses di pusat komuniti lestari, baki yang tinggal hanya antara 30 hingga 10 peratus sahaja yang perlu dihantar ke tapak pelupusan dan ini dapat mengurangkan perbelanjaan (operasi),” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :