Selangorkini
PUTRAJAYA, 7 Mac — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa bermesra bersama para pelajar pendidikan khas semasa melawat Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Pendidikan Inklusif di Sekolah Kebangsaan Presint 9(2) hari ini. Turut sama, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

KPWKM, KKM bincang langkah galak ibu bapa vaksin anak

PUTRAJAYA, 7 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai langkah untuk menggalakkan ibu bapa memberi vaksin kepada anak-anak mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan menggalakkan pemberian suntikan imunisasi kepada kanak-kanak walaupun buat masa ini tiada langkah atau peraturan yang mewajibkan ibu bapa berbuat demikian.

“Itu pilihan ibu bapa namun kita mengesyorkan lindungilah anak-anak dengan vaksin sebelum penyakit itu terkena (anak-anak),” katanya selepas melancarkan kad orang kurang upaya (OKU) baharu bagi Subkategori Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa vaksin dan hak kepada pendidikan adalah isu berbeza susulan cadangan sesetengah pihak supaya kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan imunisasi dilarang ke sekolah.

Dr Wan Azizah berkata, gerakan antivaksin timbul berikutan kebimbangan ibu bapa terhadap masalah berteraskan anekdot yang mengaitkan vaksin dengan autisme walaupun terdapat bukti bahawa vaksin bertujuan mencegah penyakit.

Mengulas mengenai penemuan mayat kanak-kanak perempuan yang sebelum ini dilaporkan hilang di Langkawi, Kedah, Dr Wan Azizah berkata, laporan awal yang diterimanya menyatakan penjaga dipercayai panik apabila kanak-kanak itu mengalami sawan.

Katanya, kejadian itu adalah satu tragedi yang tidak sepatutnya dilakukan oleh penjaga.

“Ini ada yang tidak kena dalam masyarakat kita yang membuatkan penjaga tinggalkan begitu sahaja apabila menghadapi masalah atau panik,” katanya.

Semalam, polis menemui tengkorak dan cebisan rambut yang dipercayai milik kanak-kanak berusia tiga tahun, Nur Aisyah Aleya Abdullah yang dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya pada Ahad lalu di Gunung Raya, Langkawi.

Menurut laporan media, pasangan penjaga kanak-kanak itu mengatakan Nur Aisyah Aleya mengalami sawan semasa berada di rumah mereka sebelum suspek lelaki membawa mayat kanak-kanak itu ke kaki Gunung Raya untuk dibuang.

Mengenai kad OKU baharu itu, Dr Wan Azizah berkata, ia dikeluarkan khusus mengikut enam subkategori di bawah OKU pembelajaran iaitu Global Development Delay (GDD), Sindrom Down, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Autisme, Intelektual dan Specific Learning Disability (LD).

Katanya, pengkhususan itu memudahkan kanak-kanak dengan masalah terbabit dikenal pasti oleh guru untuk dipadankan dengan kaedah pembelajaran yang sesuai.


Pengarang :