Selangorkini
NASIONAL

KPWKM terima 101 permohonan buka taska di premis kerajaan

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima 101 permohonan daripada agensi kerajaan untuk membuka taman asuhan kanak-kanak (taska), di premis masing-masing.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu diterima sepanjang tempoh permohonan dibuka dari 24 Januari hingga 7 Februari lalu bagi memanfaatkan peruntukan RM10 juta yang disediakan untuk mewujudkan tambahan 50 taska, di premis kerajaan.

“Kami dapati ada 501 agensi kerajaan termasuk agensi kerajaan negeri tidak mempunyai pusat asuhan di tempat kerja,” katanya menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang), pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga Januari lalu, sebanyak 4,466 taska berdaftar dengan kementeriannya.

Menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) berkenaan cadangan pembinaan taska di bangunan Parlimen, Yeoh berkata, pihaknya masih menunggu kertas cadangan permohonan daripada Parlimen.

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) ada berjumpa Speaker dan menyatakan Parlimen ini tempat undang-undang digubal dan ini mesej penting untuk seluruh Malaysia melihat tempat penggubalan undang-undang ada infrastruktur bagi mengalakkan wanita menjadi wakil rakyat,” katanya.

Berhubung gaji minimum RM1,200 kepada pengasuh yang turut memberi kesan kepada kos bulanan bagi golongan berpendapatan rendah (B40) untuk menghantar anak ke taska, Yeoh berkata, pihaknya sedar berkenaan perkara itu dan Kementerian Sumber Manusia sedang menelitinya. -BERNAMA


Pengarang :