MARAWI, 28 Mac — Salah seorang Pelarian Dalam Negeri Johannah Abdel Fatah, 32, ditempatkan di kawasan pemindahan sementara Bito setelah rumah tiga tingkat milik keluarganya musnah akibat pertempuran selama lima bulan di Marawi pada 2017 lalu. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
GLOBALRENCANA

Krisis Marawi: Dari rumah mewah ke pondok buluh

MARAWI (Filipina), 28 MAC: Pertempuran selama lima bulan di wilayah ini menyebabkan Johannah Abdel Fatah sekeluarga yang dahulu tinggal di rumah tiga tingkat kini terpaksa berhimpit di dalam pondok buluh kecil di kem pemindahan sementara Barangay Bito Buadi Itowa, di sini.

Wanita berusia 32 tahun itu berkata, beliau sebelum ini adalah pegawai kebajikan di Manila, namun kembali ke kampung halaman di Moncado Colony, di sini selepas kontraknya tamat, iaitu kira-kira sebulan sebelum konflik meletus.

“Sejak ditempatkan di sini, sudah dua kali saya pergi melihat rumah keluarga tetapi ia sangat menyedihkan kerana telah musnah teruk akibat terkena letupan,” katanya menerusi penterjemah ketika ditemui pemberita di kem itu.

Ibu empat anak itu antara ribuan penduduk Marawi yang menjadi Pelarian Dalam Negeri (IDP) susulan pertempuran di antara pasukan keselamatan Filipina dan kumpulan pengganas pro-Daesh pimpinan Isnilon Hapilon yang meletus, pada Mei 2017.

Johannah yang bercakap bagi pihak IDP di petempatan itu berkata, mereka sekeluarga kini mengharungi kehidupan yang perit kerana beliau tidak mempunyai pekerjaan untuk menyara hidup serta perlu keluar ke tempat lain bagi mencari makanan untuk keluarga.

Tambah memeritkan, kem itu mengalami masalah bekalan air dan IDP terpaksa menunggu bekalan air daripada pihak yang menyampaikan bantuan bagi kegunaan harian.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, IDP di pusat petempatan itu juga perlu mengosongkan kem menjelang Februari depan berikutan tanah berkenaan adalah milik swasta.

Mengulas lanjut, Johannah berkata beliau dan mereka yang lain berharap dapat diberikan peluang untuk bekerja kerana ramai antara mereka yang mempunyai kelayakan akademik.

“Sudah banyak kali hantar permohonan termasuk kepada badan bukan kerajaan namun sehingga kini gagal beroleh pekerjaan,” katanya yang turut berterima kasih kepada ​​​​​​​Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) kerana membantu mangsa mengesan anggota keluarga yang hilang selepas pertempuran.

Pertempuran itu meragut lebih 1,000 nyawa termasuk 800 pelampau dan 162 anggota pasukan keselamatan selain menyebabkan kira-kira 350,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dan kini bergelar IDP.

Pada 17 Oktober 2017, Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan bandar Marawi berjaya dirampas semula daripada pelampau pro-Daesh dan bebas pengganas.

Sehari kemudian, Duterte mengesahkan warga Malaysia Dr Mahmud Ahmad yang disifatkan ‘orang kanan’ kumpulan militan yang menyokong kumpulan pengganas Daesh terbunuh dalam pertempuran di Marawi. -BERNAMA


Pengarang :