SELANGOR

Kuat kuasa undang-undang kilang haram, tangani isu pencemaran

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri akan mengaktifkan semula penguatkuasaan kepada kilang haram, bagi mengenal pasti masalah utama perkara itu, sekali gus menyelesaikan isu pencemaran alam sekitar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat tiga bulan lalu dengan pelaksanaannya bakal diketuai EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Katanya, beliau juga akan merujuk kepada penasihat undang-undang untuk membentuk penguatkuasaan lebih kemas dan efisien dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

“Saya akan rujuk penasihat undang-undang. Mungkin jumlah saman dan hukuman sebelum ini kurang menakutkan, malah kita juga nak tengok mekanisma tertentu dalam menangani masalah dan mencegah pihak tidak bertanggungjawab daripada mengulanginya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-47 peringkat Selangor 2019, di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan kerja pembersihan di Sungai Klang mencapai tahap 62 peratus, setakat 10 malam tadi.

“Laporan seterusnya pada 10 malam nanti dan kita jangka hari ini boleh selesai,” katanya.


Pengarang :