NASIONAL

Lagi kes buang sisa kimia, JAS diminta segera siasat

JOHOR BAHRU, 18 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta menyiasat segera laporan berhubung beberapa lagi kes disyaki kesan pembuangan sisa kimia di kawasan Masai.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, beliau mengambil serius laporan dan aduan bahawa terdapat beberapa lagi kes yang disyaki kesan pembuangan sisa kimia.

“Sehingga laporan yang lengkap diperolehi daripada JAS, kawasan tersebut hendaklah ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan, kawalan dan penyiasatan telah dijalankan.

“Jika benar pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan haram, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Osman berkata, beliau tidak akan membiarkan bencana kimia itu berulang kerana nyawa dan keselamatan rakyat menjadi pertaruhan.

“Saya menyeru kepada semua rakyat untuk menjauhi kawasan tersebut dan mematuhi peraturan keselamatan yang disediakan,” katanya.

Terdahulu, beberapa tong biru dipercayai digunakan sebagai bekas pembuangan sisa kimia, dijumpai berdekatan Sungai Sembilang di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tanjung Puteri Resort.

Sekolah berkenaan adalah antara sekolah yang terkesan ekoran pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, 12 hari lalu.

– BERNAMA

– Foto Kredit : Facebook INFO BERITA SEMASA


Pengarang :