Selangorkini
NASIONAL

Lagi lokasi baharu dipercayai pembuangan sisa kimia ditemui

JOHOR BAHRU, 19 MAC: Satu lagi lokasi baharu dipercayai menjadi tempat pembuangan sisa kimia ditemui di tepi Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru, berdekatan dengan Sungai Masai, di sini.

Tinjauan BERNAMA mendapati terdapat kerja-kerja mengangkat sisa-sisa buangan oleh dua jentera berat serta kehadiran ramai pekerja lengkap berpakaian keselamatan peribadi (PPE) dan topeng penutup muka di kawasan berkenaan.

Terdapat lebih 10 tong biru disusun di tepi jalan lebuhraya berkenaan.

Sebelum ini, gambar-gambar pekerja berpakaian PPE menjadi viral sejak petang semalam sehingga menimbulkan kebimbangan baharu penduduk sekitar susulan dari kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Lokasi baru itu berada kira-kira 18 hingga 20 kilometer dari terjadinya kes pencemaran Sungai Kim Kim.

Ketika menghampiri lokasi berkenaan, beberapa petugas berpakaian oren bertindak menghalang pihak media daripada mengambil gambar dan membuat liputan.

Semalam, penduduk Taman Tanjung Puteri Resort turut melahirkan rasa kebimbangan selepas penemuan beberapa tong biru dipercayai digunakan membuang sisa bahan kimia, di Sungai Sembilang, kira-kira dua kilometer dari Sungai Kim Kim.

Lokasi itu berada kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, salah satu sekolah yang turut dilanda simptom “Kim Kim” pada Selasa (12 Mac).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dijangka membuat sidang media di lokasi pertama pembuangan sisa kimia berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih petang ini.

– BERNAMA

Sumber: Foto Facebook Bernama Radio


Pengarang :