NASIONAL

Laluan khas kepada empat golongan bagi kemasukan ke universiti awam

BATU PAHAT, 2 MAC: Kementarian Pendidikan menyediakan laluan khas kepada empat golongan bagi kemasukan ke Universiti Awam (UA), yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), atlet, Orang Asli dan golongan berpendapatan rendah.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, dengan adanya laluan khas itu empat golongan berkenaan tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana untuk melanjutkan pengajian masing-masing.

Beliau berkata, mereka hanya perlu memenuhi syarat khas yang ditetapkan oleh universiti yang dipilih dan hanya akan disaring dalam kalangan kelompok mereka sendiri sahaja.

“Bagi golongan OKU dan berpendapatan rendah ini, kita akan memilih yang terbaik di kalangan mereka, bagi masyarakat Orang Asli kita mahu lebih ramai yang melanjutkan pengajian di UA dan golongan atlet pula kita mahu melahirkan lebih ramai atlet kita yang berpendidikan di pusat pengajian tinggi.

“Kita laksanakan laluan khas ini kerana mencontohi beberapa negeri maju yang mengutamakan golongan berkenaan terutamanya golongan atlet kerana ramai yang memasuki universiti kerana pembabitan mereka dalam bidang sains sukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Masuk IPT 2019 (JMIPT) Zon Selatan, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, hari ini.

Sementara itu semasa ditanya berhubung status cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah di Pagoh, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya dan berkata, selain universiti berkenaan, terdapat beberapa juga universiti luar lain seperti di United Kingdom dan Jepun yang turut berminat untuk membuka cawangan dalam negara.

“Selain menerima permohonan daripada universiti luar negara kerana kos pengajian dan sara hidup yang murah, pihak kerajaan juga ada merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :