PENDIDIKANSELANGOR

Lebih 1,000 rakyat Selangor terima manfaat pembiayaan pendidikan Kerajaan Negeri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MAC: Dianggarkan kira-kira 1,150 rakyat di Selangor akan menerima manfaat daripada program pembiayaan pendidikan Kerajaan Negeri, pada tahun ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, program di bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor itu dilaksanakan dengan dana berjumlah RM16.6 juta.

Titah baginda, ia adalah tabung pendidikan bertujuan membantu pelajar kelahiran Selangor, khususnya yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Antara program pinjaman pendidikan yang dilaksanakan adalah Pinjaman Boleh Ubah Dalam dan Luar Negara, Program Khas Selangor Brain Bank (Pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga Phd); Biasiswa Sagong Tasi untuk Anak Orang Asal dan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Selangor ke-14, di Bangunan Annexe, hari ini.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menghadiri Istiadat Pembukaan DNS itu.

 


Pengarang :