SELANGOR

Lebih 20,000 unit Rumah Selangorku bakal siap menjelang 2025

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 2 MAC: Sebanyak 24,869 unit Rumah SelangorKu bakal siap sepenuhnya menjelang 2025, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited dalam memastikan kemaslahatan dan kedudukan sosioekonomi rakyat Selangor terjamin sekali gus mampu memiliki kediaman sendiri.

Katanya, pemantauan berkala sering dibuat bagi memastikan pemaju mematuhi dan mendahului pembinaan Rumah SelangorKu itu terlaksana.

“Seperti yang sering saya tekankan sebelum ini, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk membatalkan kelulusan diberi sekiranya pemaju tidak memberikan kerjasama walaupun rundingan sudah dibuat selama 18 bulan selepas kelulusan diberi.

“Malah, Kerajaan Negeri percaya bahawa permasalahan rumah mampu milik dapat diatasi dengan lebih banyak pembinaan Rumah SelangorKu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pangsapuri SelangorKu Idaman Residensi, Seksyen 6, Selangor Cyber Valley, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, dengan sokongan erat daripada Kerajaan Persekutuan, beliau yakin hasrat pelaksanaan Dasar Perumahan Negara 2.0 dan Dasar Perumahan Mampu Milik dapat direalisasi.

“Dasar yang digubalkan ini akan menyelesaikan banyak permasalahan perumahan antaranya memudahkan proses kelulusan pinjaman selain menyeimbangkan komposisi nisbah rumah mampu milik dan harga bebas yang jauh berbeza ketika ini.

“Selain itu, saya amat berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana menyahut saranan Kerajaan Negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik khusus kepada rakyat Selangor,” katanya.

Berdasarkan rekod, pembinaan Rumah SelangorKu sudah melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit seperti ditetapkan menjelang 2018, manakala sehingga 31 Ogos tahun lalu, 28,639 unit sudah dibina dan 3,770 unit telah diserah kunci.


Pengarang :