NASIONAL

Lebih 32,000 nelayan seluruh negara layak terima ESH tahun ini

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Seramai 32,316 orang nelayan seluruh negara layak menerima Elaun Sara Hidup (ESH) daripada kerajaan bagi tahun ini selepas pemutihan bantuan itu dilakukan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jumlah berkenaan berkurangan berbanding 35,233 orang penerima pada Disember tahun lalu.

Salahuddin berkata, terdapat kriteria yang harus diteliti oleh kementerian supaya mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan itu.

“Yang layak tetap layak. Jangan ambil hak orang lain. Mengaku nelayan, mengaku pesawah untuk mengambil elaun. Ini tidak betul.

“Jadi bagi nelayan dan pesawah yang kita minta pegawai membuat pemutihan kita akan berikan selagi layak. Namun begitu mereka yang tidak memenuhi kriteria boleh merayu. Sekiranya menepati kriteria, kita akan bagi balik. InsyaAllah,” katanya pada Dewan Rakyat hari ini, lapor BERNAMA.

Salahuddin menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PAKATAN-Bagan Serai) yang ingin tahu jumlah sasaran dan jumlah petani serta nelayan menerima bantuan selepas pemutihan bantuan dilaksanakan.

Terdahulu ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) sama ada kerajaan masih meneruskan bantuan dan insentif kepada nelayan, Salahuddin berkata, kerajaan masih meneruskan pemberian subsidi dan insentif kepada nelayan serta pesawah berdasarkan peruntukan kewangan semasa.

“Bagi sektor perikanan, sejumlah RM70 juta telah diperuntukkan untuk pemberian ESH iaitu sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik vesel zon A, pekerja di atas zon A, B, C dan C2.

“Sejumlah RM3.5 juta pemberian ESH sebanyak RM200 sebulan kepada nelayan darat dan sebanyak RM17 juta bagi insentif hasil tangkapan ikan (IHTI),” katanya.

Bagi sektor beras dan padi, Salahuddin berkata, sebanyak RM232.5 juta bagi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), RM281.5 juta bagi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan RM75 juta untuk Insentif Benih Padi Sah.

“Sejumlah RM516.5 juta bagi Skim Subsidi Harga Padi di mana jumlah insentif telah dinaikkan daripada RM300 satu metrik tan (mt) kepada RM360 mt,” katanya.


Pengarang :