SELANGOR

LGBT tidak diiktiraf semua agama – ADN Meru

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tidak pernah diiktiraf Kerajaan Pusat mahupun negeri.

Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, malah, perhimpunan yang dilakukan juga bukan atas keizinan kerajaan.

“Bukan sahaja tidak diiktiraf pada Kerajaan Pusat dan Negeri, kumpulan LGBT juga tidak diterima dalam mana-mana agama,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi membidas ucapan Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohd Fakhrulrazi dengan sinis juga berkata, demonstrasi sedemikian tidak pernah dilakukan golongan itu sebelum ini berkemungkinan disebabkan hak mereka dilindungi.

“Jika kita lihat sekarang Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengadakan operasi dengan lebih kerap sehingga menyebabkan golongan itu tertekan.

“Mungkin dulu tiada tekanan kerana operasi kurang, agaknya dahulu mereka (LGBT) terjaga,” katanya.

Rizam sebelum itu ketika ucapannya mendakwa kononnya perhimpunan LGBT di Dataran Merdeka pada 9 Mac lalu semakin berani dilakukan selepas pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).


Pengarang :