Foto BERNAMA
NASIONALSUKANKINI

Liga Esports akan diwujud cungkil lebih ramai bakat

IPOH, 3 MAC: Kerajaan akan mewujudkan Liga Esports sebagai antara usaha untuk mencungkil lebih banyak bakat dalam sukan alam maya itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, ketika ini pertandingan di seluruh negara membabitkan Esports atau sukan elektronik yang menjadi minat orang ramai terutama golongan muda banyak dijalankan ‘one-off’ atau sekali sahaja.

“Akan ada (Liga Esports) dari (peringkat) bawah sampai ke atas untuk kita cungkil bakat dan pasarkan (bakat) itu kerana Esports ini mempunyai pengikut yang ramai,” katanya, lapor BERNAMA.

Syed Saddiq bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Grassroot vs Rest of the World’ pada hari terakhir Persidangan Industri Profesional Esports (EPIC) bertemakan ‘More Than Gaming’ di sini, hari ini.

Tanpa menyatakan bila Liga Esports itu akan bermula, Syed Saddiq berkata, ketika ini pihaknya sedang memberi tumpuan kepada pemilihan pemain untuk mewakili negara dalam sukan terbabit ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Sebanyak enam acara permainan Esports dipertandingkan di Manila mulai 30 November sehingga 11 Disember depan iaitu Dota 2, Stracraft 2, Arena of Valor, Mobile Legend, Tekken serta NBA 2k19.

Bagi memastikan Esports terus diperkasa, Syed Saddiq berkata, kementerian sudah menubuhkan satu pasukan bertindak khas yang antara lain dianggotai pemain profesional sukan berkenaan.

“Dengan adanya task force ini kita akan tetapkan syarat dan peraturan mengenai Esports,” katanya.

Syed Saddiq berkata, pasukan bertindak khas itu juga akan mengambil kira pandangan ibu bapa terhadap Esports kerana mengakui terdapat segelintir keluarga yang bimbang anak-anak mereka akan mengalami ketagihan.

“Task force tidak boleh ketepikan pandangan ibu bapa, ia akan ambil kira 100 peratus kerana kita tak nak wujud elemen ketagihan.

“Banyak pemain profesional Esports tapi mereka fit, ada rutin dan rejim supaya tidak ketagihan atau tidak boleh jaga kesihatan,” katanya.


Pengarang :