NASIONAL

LIMA 2019: KPDNHEP pastikan tiada kenaikan harga barangan, makanan

PUTRAJAYA, 25 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berperanan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan dan makanan secara tidak terkawal sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA) 2019 yang berlangsung di Langkawi.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi dan pemantauan ke atas setiap premis perniagaan di Langkawi untuk menangani kenaikan harga yang tidak berpatutan.

Beliau berkata, KPDNHEP memberi perhatian serius dan sentiasa mengambil langkah bagi memastikan harga barangan dalam negara adalah berpatutan demi kesejahteraan pengguna.

“Tindakan pelaksanaan operasi dan pemantauan dijalankan melalui pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan di semua lokasi perniagaan di sekitar Langkawi dengan memberi tumpuan kepada tindakan terhadap ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan ialah perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, serta penandaan harga bagi barangan jualan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993, katanya.

“(Yang lain) ialah petunjuk atau gambaran yang mengelirukan harga di bawah Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999; pengeluaran resit atau invois belian jika diminta oleh pengguna di bawah Sekyen 140 Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Muez berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengeksploitasikan apa-apa keadaan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.

Katanya, kementerian turut menyediakan pelbagai saluran aduan yang lain iaitu di portal rasmi KPDNKK, emel http://eaduan.kpdnkk.gov.my, talian tol bebas KPDNHEP 1800-886-800, aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNKK serta di media sosial Twitter dan Facebook KPDNKK.

“Sebarang aduan itu mestilah jelas seperti butiran nama, alamat tempat yang diadu, butiran barangan dan harga serta resit pembelian untuk memudahkan kita membuat siasatan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :