Pesawat Su30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia ketika melakukan pertunjukan udara pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC). –foto BERNAMA
NASIONAL

LIMA’19 capai kejayaan-Tun M

LANGKAWI, 30 MAC: Kabinet berpendapat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) mencapai kejayaan apabila menerima banyak penyertaan dalam acara yang berlangsung mulai Selasa lepas hingga hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata selain itu, ia turut menarik kedatangan ramai pengunjung yang berpeluang menyaksikan pelbagai pertunjukan yang disediakan sepanjang pameran itu.

“Di samping itu, semasa LIMA, ada perjanjian-perjanjian perniagaan (ditandatangani) yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan jubli perak Permodalan Kedah Bhd (PKB) dan merasmikan Hotel Adya Chenang di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai intipati perbincangan mesyuarat kabinet yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.

Dr Mahathir berharap Langkawi akan terus menjadi tuan rumah kepada acara dwitahunan itu yang seterusnya akan memberi manfaat kepada penduduk pulau peranginan berkenaan.

“Jadi saya percaya orang Langkawi akan menjadi tuan rumah yang baik kepada pelancong semasa LIMA dan selepas LIMA, dengan itu orang Langkawi akan dapat keuntungan yang besar apabila melayan pelancong yang datang ke Langkawi,” katanya.

Perdana menteri berkata, ada peserta pameran itu yang menyuarakan hasrat untuk membuat pelaburan di Malaysia khususnya di Kedah dan Langkawi.

“Ada negara yang mengaku akan import lebih banyak minyak kelapa sawit, tetapi kita mesti beli barangan mereka. Ada yang berkata walaupun tiada pembelian apa pun oleh Malaysia mereka berminat untuk melabur di Kedah dan Malaysia khususnya di Langkawi,” kata anggota Parlimen Langkawi itu.

LIMA’19 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini melibatkan penyertaan sejumlah 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing – yang kebanyakannya berkaitan pertahanan.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, perdana menteri menggesa agensi kerajaan negeri yang menjalankan perniagaan supaya melaksanakannya dengan tertib mengikut pentadbiran perniagaan sebenar.

Menurut beliau, ada entiti perniagaan yang ditubuhkan kerajaan termasuk di peringkat pusat menghadapi kegagalan atau tidak mendapat keuntungan disebabkan tidak diuruskan dengan betul.

“Sebabnya bukanlah projek itu tidak baik tetapi pengurusannya tidak baik, amat penting sekali pengurusan yang baik diadakan dalam semua perniagaan kerajaan negeri ataupun pusat,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Hotel Adya Chenang milik PKB, syarikat kerajaan negeri Kedah dibina berkonsepkan patuh Syariah yang menawarkan 128 bilik dan telah mula beroperasi 15 November tahun lepas. -BERNAMA


Pengarang :