Lokman Adam antara empat didakwa serang penuntut UM | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Lokman Adam antara empat didakwa serang penuntut UM

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua UMNO Petaling Jaya Abdul Mutalif Abdul Rahim antara empat individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, masing-masing atas dua pertuduhan mencederakan seorang penuntut universiti minggu lepas.

Lokman Noor, 46; Abdul Mutalif, 48 yang juga adik Anggota Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Salmon Arif Budiman Mychlis, 48 (kerani Pejabat UMNO Lembah Pantai) dan Mohd Norzakifah Mohamed Nawi, 44 (penghantar surat sebuah firma guaman), masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, keempat-empat tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan bagi melaksanakan tujuan bersama perhimpunan itu telah melakukan mudarat awam dan seorang daripada tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada Wong Yang Ke, 23, penuntut Universiti Malaya, dengan cara memegang rahang, menarik leher dan menarik rambut mangsa dari arah belakang.


Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di perhentian bas, di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Brickfields, di sini, pada 3.30 petang, 22 Mac lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lokman Noor juga didakwa atas satu pertuduhan dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada mangsa sama, dengan cara mengoyakkan plakad milik mangsa di tempat, tarikh dan masa sama.

Lokman Noor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Abdul Mutalif juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Siti Mariam Mohamad Nizar, 25, pelatih portal berita, pada ibu jari tangan kanan mangsa di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Brickfields, di sini, pada 3.45 petang, 22 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman serupa.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama di tempat dan tarikh sama mengikut seksyen serupa.

Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed @ Mamat menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk dua tuduhan mencederakan manakala jaminan RM10,000 untuk Abdul Mutalif bagi tuduhan mencederakan dan tidak menawarkan jaminan terhadap Lokman Noor bagi tuduhan mengoyakkan plakad.

KUALA LUMPUR, 28 Mac — Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini, atas dua pertuduhan mencederakan seorang penuntut universiti minggu lepas.
Selain Lokman Noor, 46; turut didakwa ialah Abdul Mutalif, 48, Salmon Arif Budiman Mychlis, 48, (kerani Pejabat UMNO Lembah Pantai) dan Mohd Norzakifah Mohamed Nawi, 44 (penghantar surat sebuah firma guaman) dan masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Peguam N.Logendran yang mewakili Lokman Noor memohon anak guamnya diberikan jaminan dengan alasan tertuduh kini “kais pagi makan pagi” apabila tidak bekerja dan perlu menyara10 anak selain isteri sedang mengandung dan akan melahirkan anak tidak lama lagi.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Abdul Mutalif dan peguam Datuk M.Reza Hassan yang mewakili Salmon Arif Budiman dan Mohd Norzakifah memohon mahkamah memberikan jaminan minimum atas alasan ketiga-tiga tertuduh memberi kerjasama yang baik kepada mahkamah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mahkamah membenarkan Lokman Noor diikat jamin RM9,000 bagi tiga pertuduhan, Abdul Mutalif RM6,000 bagi tiga pertuduhan manakala Salmon Arif Budiman dan Mohd Norzakifah masing-masing diikat jamin RM4,000 bagi dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu keempat-empat tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta tarikh sebutan semula ditetapkan pada 16 Mei.

Media sebelum ini melaporkan, tercetus insiden tolak-menolak antara penuntut Universiti Malaya dengan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, Jumaat lalu.

Ketika kejadian, Najib dikatakan sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan pelajar di sebuah restoran terletak berhadapan perhentian bas berkenaan. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next