SELANGOR

Lupakan kejayaan lampau, kecapi lebih tinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 16 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, mahu semua penjawat awam tidak terus diulik dengan kejayaan lampau, sebaliknya komited mencipta lebih banyak kejayaan, pada masa akan datang.

Beliau berkata, usaha menggembleng ke arah itu mampu direalisasikan apabila kakitangan menambah baik kualiti perkhidmatan sedia ada.

“Beberapa elemen perlu dipertingkatkan antaranya menukar cogan kata daripada melaksanakan tugas kepada amanah.

“Ini adalah anjakan besar seseorang penjawat awam kerana perlu menanam sifat berkenaan dengan bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh.

“Penjawat awam juga perlu memastikan perubahan dengan berkongsi kepandaian, melebarkan suasana negatif kepada positif ke arah membakar semangat lebih baik antra satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Media dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2018, di Galeri Jualan, Bandar Rimbayu, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid.

Pada masa sama, Amirudin berkata, seramai 34 kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan dua pesara itu dapat menjadi pembakar semangat kakitangan lain.

“Dengan pencapaian cemerlang ditunjukkan warga kerjanya, pastinya kejayaan ini dikecapi berdasarkan kejayaan lampau dan boleh menjadi contoh kepada kakitangan lain.

“Saya percaya, dengan kepimpinan tradisi yang ditunjukkan sejak 10 tahun lalu dalam melaksanakan tugas tanpa politik keterlaluan, pasti membuahkan kejayaan positif,” katanya.


Pengarang :