SELANGOR

LZS dekati asnaf, bantu gotong-royong bersih kawasan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) bukan sahaja membantu asnaf melalui bantuan zakat, sebaliknya turut turun padang bergotong-royong membersihkan rumah golongan terbabit.

Menurut kenyataan di Facebook, gotong-royong itu dilaksanakan melalui program Mesra Tani yang diadakan di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar, pada 22 Mac lalu.

Ia turut disertai pelajar Kolej Antarabangsa INPENS yang bersama membantu mengecat dan mengemas rumah beberapa asnaf fakir miskin terpilih di kawasan itu.

Selain aktiviti gotong-royong, turut diadakan majlis penganugerahan kepada Penolong Amil Padi Terbaik dan sesi taklimat kepada semua Penolong Amil berkenaan fatwa baharu kutipan zakat padi.

Difahamkan, program Mesra Tani yang dianjurkan setiap tahun itu bertujuan mendekati dan meraikan penolong amil padi serta pembayar zakat padi.

Sementara itu, pada sebelah malam diadakan tazkirah Maghrib yang mengupas tajuk Tanaman Syurga bersama panel jemputan, PU Suhaimi.

Beliau menyampaikan tazkirah yang menjentik jiwa dengan alunan bacaan al-Quran merdu menggamit lebih 100 jemaah yang hadir, pada malam itu.

Program sebegini akan terus diadakan bagi menyebar luas dakwah zakat dalam kalangan masyarakat terutama pengusaha sawah padi di sekitar Kuala Selangor, Sekinchan, Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.


Pengarang :