SELANGOR

LZS, TERAS sedia skim bantuan makanan penuhi keperluan asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MAC: Prihatin terhadap nasib asnaf fakir, miskin dan mualaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) menyediakan skim bantuan makanan bulanan bagi memenuhi keperluan golongan terbabit.

Eksekutif Agihan Makanan TERAS, Hazanah Hayati berkata, operasi pengagihan makanan bulanan akan dilakukan setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang meliputi sembilan daerah, di seluruh Selangor.

“Setiap hari sebanyak 12 lori akan bergerak bagi mengagihkan makanan dengan dibantu seramai 24 kakitangan, manakala bagi setiap penghantaran pula dianggarkan sebanyak 50 hingga 70 rumah bergantung kepada jadual penghantaran.

“Penjadualan penghantaran adalah berbeza setiap hari bergantung kepada pengesahan penerima bantuan itu sendiri. Bantuan hanya akan diagihkan kepada nama penerima bantuan sahaja dan jika penerima tiada di rumah, satu notis pemakluman akan diberikan.

“Dalam tempoh tiga hari sekiranya tiada maklum balas daripada penerima, TERAS akan menghubungi semula bagi menstrukur semula jadual penghantaran kepada mereka,” katanya.

Baru-baru ini, TERAS dan LZS mengagihkan bantuan berupa makanan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula kepada hampir 1,300 penerima di daerah Sepang.

Jumlah nilai bantuan adalah berbeza bagi setiap penerima bergantung kepada bilangan tanggungan dalam keluarga mereka.

Berkongsi pengalaman sepanjang operasi pengagihan bantuan itu, Hazanah berkata, cabaran utama adalah jarak perjalanan yang perlu ditempuh bagi setiap aktiviti penghantaran.

Katanya, jarak kedudukan rumah penerima bantuan di daerah Sepang terletak berjauhan antara satu sama lain, malahan ada jarak penghantaran mengambil masa hampir dua jam perjalanan untuk sebuah rumah.

“Cabaran ini terletak pada bahu pemandu dan kelindan yang membuat penghantaran. Selain itu, mereka juga perlu mahir dengan selok-belok kawasan penghantaran terutama jalan yang sempit dengan halangan seperti kabel pendawaian elektrik atau dahan pokok yang menghalang laluan,” katanya.

FOTO SUMBER: Lembaga Zakat Selangor (LZS)


Pengarang :