NASIONAL

Malaysia, ASEAN anjur aktiviti perdagangan berprofil tinggi di Eropah

FRANKFURT, 28 MAC: Satu rangkaian aktiviti berprofil tinggi bagi mempromosi pelaburan dan perdagangan dengan Malaysia akan berlangsung di Jerman, Belgium dan Belanda.

Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Yusri Hasnan Chu berkata, aktiviti itu sebahagian daripada usaha promosi bagi menarik pelaburan dan perniagaan dari negara terbabit.

“Kami menjangkakan satu misi projek khas anjuran ibu pejabat MIDA pada pertengahan April yang akan menjadi misi khusus dalam menangani produk jentera dan kejuruteraan.

“Delegasi ini akan berkunjung ke Frankfurt, Amsterdam dan Stuttgart untuk bertemu syarikat pelaburan yang berpotensi,” katanya kepada Bernama.

Yusri menonjolkan peluang pelaburan kepada perusahaan Belgium dan Eropah, di Malaysia semasa Forum Pelaburan dan Perdagangan ASEAN (ATIF) 2019 di Brussels, pada 4 April ini.

Acara bertema “Forging Partnership for Economic Sustainability” itu bakal menyaksikan Datuk Hasnudin Hamzah, Duta Besar Malaysia ke Belgium dan Luxembourg merangkap ketua Misi Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU), menyampaikan ucapan alu-aluan dalam kapasitinya sebagai pengerusi Jawatankuasa ASEAN, di Brussels.

Wakil pelaburan dan perdagangan ASEAN bersama pelabur, akan mengetengahkan pengalaman mereka di rantau ASEAN termasuk menjalankan perniagaan dan membentangkan perkembangan terkini untuk memajukan integrasi ekonomi, selain mengemas kini masyarakat perniagaan serta pegawai EU berkenaan peluang dan manfaat setiap negara anggota ASEAN.

Satu lagi Forum Perniagaan ASEAN, yang dijangka berlangsung di The Hague, Belanda pada 24 Jun, akan menonjolkan hubungan ASEAN dengan Belanda.

Ia adalah anjuran bersama Kedutaan Besar Diraja Thailand dan Kedutaan Besar Malaysia di The Hague.

Antara tema yang ditampilkan ialah logistik, inovasi, pengurusan air, ekonomi pusingan, biokimia, pertanian dan inovasi makanan. -BERNAMA


Pengarang :