NASIONAL

Malaysia contoh negara pejuang keamanan sejagat

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Kejayaan Malaysia menganjurkan Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka semalam jelas menunjukkan Malaysia wajar dijadikan negara contoh di mata dunia dalam memperjuangkan keamanan sejagat.

Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Syahrir Azfar Saleh berkata, acara itu dilihat berjaya menterjemahkan prinsip kedamaian dan keharmonian pelbagai agama dengan menolak unsur kebencian.

Beliau berkata, Malaysia memilih untuk menyebarkan prinsip kedamaian walaupun diselubungi rasa sedih dan marah dengan kejadian serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand 15 Mac lepas.

“Keamanan sejagat perlukan kerjasama semua kaum dan program ini berjaya menggabungkan kekuatan dan kebersamaan pelbagai kaum dan agama dalam negara dalam menyokong prinsip keamanan dan kedamaian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Perhimpunan Solidariti yang julung kali diadakan itu adalah susulan tragedi berdarah yang mengorbankan 50 nyawa termasuk remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, dan tiga rakyat Malaysia adalah antara lebih 40 orang yang cedera dalam kejadian terbabit.

Pada perhimpunan itu, wakil pelbagai agama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Taoism menyuarakan mesej senada dan jelas menolak sebarang bentuk kebencian dan menyuburkan keamanan.

Antara lima teras Deklarasi Kedamaian itu ialah mengecam segala tindakan diskriminasi, perlakuan berbentuk keganasan serta pembunuhan atas nama kaum dan agama serta mengutuk sebarang tindakan serta budaya kebencian atas nama kaum dan agama.

Sementara itu, Anggota Lembaga Pengarah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Fauziah Hasan secara peribadi amat tersentuh apabila menerima sekuntum bunga ros daripada seorang wanita Cina yang tidak dikenalinya ketika menghadiri perhimpunan itu.

Kata Fauziah, bunga ros merupakan simbol kepada solidariti dan tanda persahabatan.

“Ini merupakan satu semarak semangat kedamaian. Bukti kita menolak sebarang bentuk kebencian dan keganasan, sebaliknya meraikan perbezaan secara harmoni,” katanya.

Bagi Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh berkata, kejayaan perhimpunan itu tidak hanya diukur berdasarkan penglibatan secara ‘fizikal’ peserta, tetapi juga melalui sejauh mana mesej kedamaian itu berjaya disampaikan kepada rakyat.

“Saya mendapati mesej daripada himpunan itu berjaya disampaikan dengan baik melalui pelbagai platform media terutama media sosial seperti Facebook dan saya berharap agar rakyat menerima mesej yang cuba disampaikan dan ketepikan fahaman politik,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :