NASIONAL

Malaysia dipilih semula anggotai IPHRC, pertubuhan kerjasama Islam

MALAYSIA DIPILIH SEMULA ANGGOTAI IPHRC, PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM

PUTRAJAYA, 2 MAC: Malaysia dipilih semula menganggotai Suruhanjaya Tetap Bebas Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pemilihan itu berlangsung semalam di luar Mesyurat Majlis Menteri-Menteri Luar (CFM) OIC ke-46 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, wakil Malaysia, Ahmad Azam Ab Rahman, akan berkhidmat dalam suruhanjaya berkenaan bagi penggal 2019-2022 bermula Ogos ini, menggantikan Prof Datin Dr Raihanah Abdullah, yang akan menamatkan tempoh dua penggalnya.

“Malaysia, selaku anggota suruhanjaya itu sejak penubuhannya, memberi sumbangan ketara kepada kejayaan IPHRC menerusi pesuruhjaya yang dipilih,” kata kenyataan itu, lapor BERNAMA.

Wisma Putra berkata, Ahmad Azam adalah aktivis terkenal yang bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia dan di persada antarabangsa.

Disokong oleh asas yang begitu kukuh dan hubungan dengan NGO di seluruh dunia, pengalaman Ahmad Azam akan memberi pandangan baharu kepada IPHRC, kata kenyataan itu.

IPHRC ditubuhkan pada 30 Jun 2011 dan bertindak sebagai sebuah badan pakar dengan kedudukan sebagai penasihat kepada OIC, bergerak secara bebas dalam bidang hak asasi manusia.

Ia terdiri daripada 18 pesuruhjaya dengan kepakaran dalam bidang hak asasi manusia yang dicalonkan oleh kerajaan masing-masing dan dipilih berasaskan kepada prinsip kesaksamaan perwakilan geografi selain keseimbangan gender.


Pengarang :