PUTRAJAYA, 7 Mac — Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (dua, kanan) mencuba dron pada Pertandingan Parcel Drone 2019 di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari ini. Pertandingan Parcel Dron yang dianjurkan oleh Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, melibatkan 40 peserta termasuk daripada beberapa institusi pengajian tinggi. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Malaysia teroka industri kurier guna teknologi dron

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 7 MAC: Kerajaan mensasarkan penggunaan dron secara komersil dalam lima tahun akan datang bagi merancakkan lagi industri pos dan kurier khususnya bagi menembusi lokasi yang sukar diakses terutama dalam situasi kecemasan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan yang diperlukan Pos Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha mempertingkatkan keupayaan negara dalam bidang ‘parcel drone delivery’ supaya keupayaan ini setanding dengan negara maju lain.

“Penggunaan teknologi ‘Unmanned Aerial Vehicle’ (UAV) dron dalam sektor perkhidmatan pos dan kurier sedang giat dilaksanakan di pelbagai negara seperti di Switzerland menerusi Swiss Post yang menggunakan dron secara komersil bagi menghantar sampel atau spesimen makmal di antara klinik serta hospiral sejak tahun lalu.

“Malaysia sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus pemodenan terbabit,” katanya dalam program Pertandingan Parcel Drone 2019 anjuran Pos Malaysia dengan kerjasama SKMM di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertandingan itu adalah tindakan proaktif bagi memacu inovasi UAV dalam sektor perkhidmatan pos dan kurier.

“Program ini sangat bertepatan dengan hasrat kementerian di bawah Pelan Strategik KKMM 2019-2023 bagi memacu ekonomi digital, menggalakkan penggunaan teknologi tinggi dan memastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

“Potensi bakat tempatan dalam bidang UAV mampu dicungkil menerusi program sebegini untuk terus maju ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Penganjur Pertandingan Drone Parcel 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Putrajaya menerima 40 permohonan dengan tujuh peserta layak ke peringkat separuh akhir manakala tiga terbaik berentap merebut trofi kejuaraan.

Peserta diberikan dua peluang untuk menerbangkan dron masing-masing bersama muatan seberat dua kilogram sejauh dua kilometer merentasi Tasik Putrajaya dan kembali ke tapak pelancaran dalam masa terpantas.


Pengarang :